Monday, February 9, 2009

Mengenali zon-zon masa dalam pasaran.

KETIDAKTENTUAN dalam pasaran kebelakangan ini amat meletihkan kepada sesiapa sahaja yang ingin mencari laba darinya. Lebih-lebih lagi bagi saya yang cacat penglihatan, keupayaan terbatas benar-benar menguji ketahanan minda dalam menganalisa pergerakan pasaran. Dengan kelengkapan petunjuk yang begitu terhad disebabkan kebanyakannya bersifat visual, pengamatan yang amat tajam amat diperlukan. Apa pun ia menjadikan usaha menganalisa itu makin menarik.

 

Apa yang ingin saya kongsikan kali ini ialah masa-masa yang perlu diperhatikan bagi memastikan penyertaan para pelabur dalam pasaran dapat memberi kepastian untuk untung diraih. Jika waktu-waktu yang terbabait menyebabkan kita ragu-ragu akan potensi keuntungan, adalah lebih baik kita menjauhi pasaran.

 

Zon masa amat mustahak bagi kita menentukan trend agar kita tidak terperangkap dengan pergerakan semasa.apatah lagi bagi pasaran forex. Sebagaimana yang sering saya sebutkan, forex diumpamakan gergaji bermata dua. Trend menaik member peluang kita meraih untung secara membeli sebaliknya trend menurun member peluang untuk kita meraih untung dengan cara menjual.

 

Bagi mereka yang berdagang secara (intraday) ataupun secara harian dan jangka pendek, mengenalpasti zon masa amat membantu kita mengenali trend yang boleh berubah begitu pantas. Dalam tempoh 24 jam, trend boleh berlaku lebih dari satu bentuk. Sesuatu trend itu mungkin saja bertahan untuk tempoh beberapa jam sebelum mengubah arah bagi membentuk trend yang baru.

 

Zon-zon masa yang saya maksudkan amat berkait rapat dengan pusingan matahari mengelilingi dunia. Sebagaimana matahari yang terbit dari timur, demikianlah  zon masa itu akan bermula dari sebelah timur.

 

Berdasarkan garisan menegak, Australia merupakan benua paling timur. Sydney yang mempunyai longitude151◦ merupakan pasaran utama harian dunia dibuka. Sydney merupakan zon masa pertama di mana waktunya 3 jam lebih awal dari waktu Malaysia. Zon masa seterusnya ialah pasaran Jepun. Tokyo yang mempunyai longitude139◦ akan meneruskan perjalanan pasaran yang merupakan 1 jam lebih awal dari waktu kita. Zon ketiga yang harus diberi perhatian ialah zon masa Eropah. Ia diwakili oleh bandar London yang mempunyai longitude0◦. Zon ini ketinggalan 8 jam di belakang waktu Malaysia. Zon masa terakhir dalam pusingan pasaran sedunia diwakili oleh pasaran di New York yang mempunyai Longitude73◦ ke barat. Kedudukan New York di sebelah barat menjadikan masanya lewat 13 jam berbanding waktu negara kita.

 

Secara lebih terperinci, waktu-waktu operasi pasaran sedunia boleh diikuti dari laman Stock, Futures and FOREX End of Day Data in MetaStock Data and ASCII Data formats. Selain pasaran utama saham, ia turut memaparkan waktu operasi pasaran-pasaran komoditi atau pasaran berjangka sedunia. Haruslah diingat bahawa forex yang ditentukan oleh penawaran dan permintaan amat dipengaruhi oleh pelbagai pasaran sama ada bond, komoditi, ataupun pasaran berjangka. Justeru mengenali zon-zon masa ini akan dapat membantu kita dalam membuat analisa pasaran.

 

Saya sering ditanya adakah waktu malam itu merupakan waktu terbaik untuk membuat pelaburan? Persoalan ini dibangkitkan bilamana kebanyakan dari kita beranggapan pasaran Amerikalah merupakan penentu kepada pergerakan pasaran sedunia. Meskipun secara fizikal pasaran Amerika merupakan pasaran yang menawarkan volume tertinggi, namun ia hanyalah merupakan sebahagian faktor kepada pergerakan pasaran sedunia.

 

Jika ditanya bilakah masa yang paling sesuai untuk membuat pelaburan, jawapannya mudah. Ia bergantung kepada keselesaan diri kita sendiri. Maka pengamatan terhadap pasaran itu amat perlu untuk kita menentukan keselesaan kita menyertai pasaran. – 14 Safar 1430H.

Wednesday, February 4, 2009

Analisa untuk persiapkan negara.

Meskipun harga minyak mentah jenis Light Sweet menunjukkan sedikit kenaikan, namun trend menurun bagi penghantaran bulan Mac 2009 masih berterusan. Sentimen yang pelbagai sebagaimana dilaporkan di sini tidak berupaya membawa trend menurun ini bertukar arah.

 

Sebagaimana yang sering saya paparkan dalam posting sebelum ini, saya masih mencari-cari langkah yang lebih menepati kewujudan instrumen dalam pasaran hari ini yang benar-benar berupaya menjadikan negara mampu berhadapan dengan pasaran terbuka tersebut.

 

Jika diperhatikan, bagi penghantaran bulan Mac, kenaikan dari harga terendah diniagakan iaitu pada USD 39.85 setong kepada 41.00 (saat penulisan ini dibuat) seolah-olah menampakkan kenaikan. Namun saya meletakkan kenaikan itu bersifat sementara dan hanya riaksi pasaran yang sementara selepas mencecah harga terendah semenjak September 2004 iaitu pada harga USD 35.59. harga yang dicecah pada Disember 2008 itu seharusnya menjadi perhatian kita semua betapa kemungkinan ia akan mencecah USD 30 setong dalam beberapa bulan akan datang.

 

Dalam keadaan semasa, saya meletakkan harga USD 43.74 sebagai penanda aras untuk kemungkinan trend menurun ini bertukar. Pun begitu, perhatian saya lebih tertumpu kepada penurunan yang berterusan dan mencecah harga sokongan USD 37.00 setong dalam masa terdekat.

 

Justeru, sebagai pengeksport minyak dan diimbangkan dengan kepentingan pengguna, wajiplah persediaan semantapnya dipersiap. – 8 Safar 1430H.