Monday, December 29, 2008

Belajar Forex: trend sebagai penentu keuntungan.

 

DALAM forex, trend itu amat penting untuk urusniaga yang menguntungkan. Tiga trend utama yang harus dikenalpasti termasuklah:

 

  1. Trend menaik.

 

  1. Trend menurun.

 

  1. Trend statik.

 

Semasa pasaran berada dalam trend menaik, para peniaga akan mencari masa terbaik untuk membuat belian dan menjual pada harga yang menguntungkan.

 

Dalam trend menurun, para peniaga akan mencari harga sesuai untuk menjual dan menutup urusniaga ketika yang sesuai dan keuntungan diperolehi.

 

Dalam hal inilah ada yang mengatakan urusniaga bersifat gergaji dua mata. Ditolak ia memakan kayu dan ditarik kayu tetap terpotong. Apa tidaknya, forex memberi ruang kepada peniaga untuk jual dan beli sama ada pasaran naik atau turun.

 

Dalam kebanyakan pasaran, jika harganya menurun, rata-rata peniaga akan mengalami kerugian. Hal ini tidak akan berlaku dalam forex. Pasaran yang menurun akan memberi peluang kepada peniaga untuk membuat transaksi jualan dan mengaut untung bila harga mencecah ke tahap terendah.

 

Selain trend menaik dan menurun, terdapat juga trend yang ketiga iaitu trend statik. Dalam trend ini pasaran akan berada pada harga yang tidak sesuai untuk berurusniaga.

 

Justeru, sebelum seseorang peniaga itu memasuki pasaran, beliau wajip mengenalpasti trend yang didepaninya.

 

Suatu hal yang perlu juga diketahui ialah jenis tempoh masa dan waktu urusniaga dalam forex. Terdapat pelbagai tempoh masa dan katagori waktu. Jenis tempoh masa dalam forex termasuklah tempoh mengikut minit, 5 minit, 15 minit, 30 minit, sejam, 4 jam, sehari, seminggu dan bulanan. Berdasarkan tempoh-tempoh masa ini trend akan dapat dikenalpasti dan carta akan dibentuk.

 

Sebagai contoh, bagi menentukan perjalanan pasaran secara harian, pergerakan setiap jam atau 4 jam akan diperhati.

 

Bagi pelabur yang bukan berurusniaga berasaskan harga penutup harian "end of day trading", pergerakan harga jangka pendek akan diperhatikan. Pelabur yang juga dikenali sebagai peniaga "intra day", pergerakan harga jangka pendek seperti 5 minit dan sejam akan membantunya mengenalpasti trend.

 

Kebanyakan broker forex menyediakan platform berasaskan pusingan waktu sedunia. Sebagai contoh, nilaian akan bermula pada jam 6:am waktu Malaysia. Pada ketika ini pasaran Australia akan mula dibuka. Putaran jam urusniaga akan terus berputar hinggalah waktu penutup pasaran New York iaitu sekitar jam 5:am waktu Malaysia.

 

Jika ditanya bilakah waktu yang paling menguntungkan, jawapan saya ianya bergantung pada bila kita benar-benar bersedia memasuki urusniaga.

 

Pada masa akan datang, saya akan berkongsi bagaimana trend dikenalpasti khususnya bagi mereka yang cacat penglihatan kerana kita akan menghadapi masalah mengikuti skrin pasaran yang bersifat grafik. – 1 Muharam 1430H.

No comments: