Monday, June 22, 2009

Analisa sepintas harga minyak mentah.

LAMA saya tak bercerita perihal harga minyak mentah. Maklum sajalah, duk perah keringat mencari sesuap nasi untuk kami sekeluarga. Di kesempatan ini, suka saya berkongsi sedikit dapatan dari secebis pemerhatian yang sempat dibuat.

 

Pada saat penulisan ini dibuat iaitu 4:11PM (waktu tempatan) harga  minyak mentah Light Sweet dalam pasaran hadapan bagi penghantaran Ogos ialah USD 69.93 setong. Ke manakah halatuju harga tersebut?

 

TAHUN 2009.

 

Bagi tahun ini, minyak jenis Light Sweet telah mula diniagakan pada harga USD 54.51 yang kemudiannya telah mencecah harga terendah untuk tahun ini iaitu USD 33.56 iaitu pada bulan Februari yang lalu. Sejak itu, harganya telah menunjukkan kenaikan hinggalah mencecah harga tertinggi iaitu USD 73.4 pada bulan Jun baru-baru ini. Persoalannya, adakah kenaikan ini bersifat jangka panjang atau sementara sahaja?

 

Saya suka menilai kenaikan ini dari sudut teknikal berbanding pelbagai sentiment yang berlegar dalam pasaran. Jika ditinjau, kenaikan ini memulakan trendnya pada bulan Februari lalu saja.

 

 RELATIVE STRENGTH INDEX.

 

Secara data bulanan, petunjuk teknikal berasaskan Relative Strength Index RSI (14), nyatanya trend yang menunjukkan kenaikan tersebut masih tidak berupaya meletakkan kekuatan lebih 50% untuk petunjuk menurun bertukar kepada menaik.

 

Pada waktu ini, RSI (14) masih di bawah paras 50% (paras kenaikan) iaitu hanya pada 47.94 sahaja. Kenaikan dari paras terendah pada Februari lalu hingga paras tertinggi baru-baru ini justeru masih belum boleh dikatakan kenaikan yang bersifat jangka panjang.

 

GARIS PSIKOLOGI.

 

Saya meletakkan sebarang perubahan trend dari menurun kepada  trend menaik pada tahun ini ialah pada paras harga USD 74.39. penilaian mengikut ukuran Pivot tahunan ini boleh kita jadikan petanda aras untuk lebih berhati-hati dalam membuat pemerhatian.

 

Secara umumnya, harga yang bermula di bawah paras psikologi ini bolelah dikatakan sebagai harga yang akan terus meningkat jika ia berjaya melepasi paras tersebut dengan mudah. Sebaliknya, jika harga yang bermula di bawah paras tersebut sukar melepasinya dengan mudah dan hanya mencecah untuk seketika, harga tersebut dijangka akan terus menurun.

 

Dalam konteks sekarang, paras psikologi ini pun masih belum dilepasi mahpun dicecah oleh harga semasa. Kedudukan ini lebih mendorong untuk membawa harga semasa menurun dalam tempoh jangka panjang.

 

Pemerhatian penuh berhati-hati mesti dilakukan bila berhadapan dengan harga yang bermain di sekitar paras psikologi ini. Sebagaimana yang disebut di atas, paras ini merupakan paras percubaan untuk harga terus meningkat atau mengekalkan trend penurunan jangka panjangnya.

PERKEMASKAN HEDGING DALAM PASARAN HADAPAN.

 

Sebagaimana yang saya sebutkan sebelum ini, prinsip "Hedging" perlu sangat diambilkira bagi mengawal harga domestic agar ia stabil meskipun berhadapan dengan keadaan tidak menentu di peringkat global. Sebagai sebuah Negara pengeksport minyak, hedging boleh dibuat secara fizikal iaitu import dibalas dengan eksport atau hedging yang dibuat dalam pasaran hadapan.

 

Sehingga kini, saya masih mencari-cari sebarang usaha untuk hedging dilakukan oleh Negara melalui mana-mana antiti demi menstabilkan harga minyak domestic.

 

KESIMPULAN.

 

Sedikit pemerhatian ini hanyalah secebis sumbangan saya untuk Negara yang tercinta. Di sebalik coretan ini, masih banyak kelemahan yang perlu dipulihkan dan masih banyak kajian yang wajip dijalankan. Semoga keberkatan dari nya jualah merungkai setiap simpulan agar kesejahteraan akan terus dikecapi. – 28 Jamadil Akhir 1430H.

No comments: